Permainan Angry Birds

Seekor burung kuning meruntuhkan struktur yang diduduki tiga ekor khinzir.

Dalam Angry Birds, pemain mengawal sekawan burung beraneka warna yang cuba merampas balik telur-telurnya yang dicuri oleh segerombolan khinzir hijau yang durjana.[8] Di setiap tahap, khinzir-khinzir ini berlindung dalam struktur-struktur buatan pelbagai bahan seperti kayu, ais[9] dan batu, dan objektif permainan adalah menghapuskan semua khinzir dalam setiap satu tahap. Dengan menggunakan lastik, pemain melancarkan burung dengan tujuan sama ada terus melanggar khinzir atau meruntuhkan struktur sehingga runtuh dan menghempap khinzir itu sampai mati.[10] Dalam sesetengah tahap, benda-benda tambahan seperti tong letupan dan batu-batan disediakan sebagai bantuan kepada burung-burung intuk menghapuskan khinzir yang sukar dicapai.

Dalam permainan ada beberapa jenis burung yang digunakan. Dalam tahap-tahap terawal, hanya ada burung merah yang asas.[8] Apabila pemain semakin mara dalam permainan, ia akan memperoleh jenis-jenis burung yang lain; sesetengah burung ini lebih berkesan terhadap bahan-bahan binaan tertentu ataupun mempunyai ciri-ciri istimewa yang boleh dihidupkan oleh pemain selepas dilancarkan:[10]

  • burung biru boleh berpecah menjadi tiga;[8]
  • burung kuning boleh memecut;[8]
  • burung hitam boleh meletup seperti bom;[10]
  • burung putih boleh melepaskan telur yang meletup;[8]
  • burung hijau boleh berpatah balik seperti bumerang;
  • burung jingga boleh menggelembung seperti belon;
  • burung merah jambu boleh meniupkan buih untuk mengapungkan benda ke langit.

Khinzir-khinzir itu juga bermacam-macam saiznya. Khinzir yang kecil agak lemah dan mudah dihapuskan oleh langgaran terus atau reruntuhan struktur, manakala khinzir yang lebih besar pula sememangnya lebih tahan lasak. Begitu juga, sesetengah khinzir memakai topi besi sebagai perlindungan supaya lebih tahan lasak, sementara khinzir yang memakai mahkota (Raja Khinzir) adalah yang paling tahan lasak.

Setiap tahap bermula dengan bilangan, jenis dan baris gilir burung yang ditentukan terlebih dahulu.[8][10] Jika kesemua khinzir ditewaskan apabila atau sebelum burung terakhir dipakai, maka tahap itu selesai dan tahap seterusnya dibuka.[8] Mata diberikan untuk seekor khinzir yang ditewaskan dan juga kemusnahan struktur, dan juga mata bonus untuk burung-burung yang tidak dipakai. Setiap kali menyiapkan satu tahap, pemain menerima satu, dua atau tiga bintang mengikut markah yang diraihnya. Pemain boleh mencuba semula tahap-tahap yang terbuka sebanyak kali yang boleh untuk menghabiskan tahap itu dengan jayanya, ataupun mendapat mata dan/atau bintang tambahan.

Rujukan

WikiPedia: Angry Birds http://www.3dsfocus.com/2011/02/angry-birds-confir... http://www.abstractiongames.com/news.html http://www.allaboutsymbian.com/reviews/item/12402_... http://www.androidauthority.com/angry-birds-season... http://www.androidcentral.com/angry-birds-here/ http://heikki.angrybirds.com/ http://www.angrybirdsnest.com/2011/03/angry-birds-... http://www.angrybirdspiglantis.com http://appadvice.com/appnn/2010/06/angry-birds-rec... http://itunes.apple.com/us/app/angry-birds-hd/id36...